comscore
Tumpuan :
Nasional

Selangor fatwakan GISBH menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar

SHAH ALAM: Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar telah diwartakan dan disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor, Rabu lepas.

Berdasarkan fatwa yang diwartakan itu, mana-mana orang Islam di Selangor dilarang dan dibatalkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

Larangan itu termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selaras dengan pewartaan fatwa tersebut, masyarakat di negeri itu dinasihatkan supaya menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang diwartakan.

“Mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung pemulihan akidah terhadap mereka yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, Abdul Aziz berkata MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Beliau berkata proses pemulihan akan dilaksanakan meliputi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah (bertaubat) dan kaunseling.

Abdul Aziz berkata MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini.

Program berkenaan, katanya selaras dengan fatwa yang diwartakan dan dalam hal itu, pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya dialu-alukan untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan tersebut.

Beliau turut menyatakan komitmen MAIS dan agensi Islam di Selangor untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Dalam kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office memaklumkan hal ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini