comscore
Tumpuan :
Nasional

Selangor, Johor rekod peningkatan pencapaian calon SPM 2023

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Selangor dan Johor masing-masing merekodkan peningkatan secara keseluruhan bagi pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Dr Jafri Abu berkata, Gred Purata Nasional (GPN) SPM bagi Selangor ialah 4.67 berbanding 4.80 yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Daripada 65,452 calon yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 2,005 calon (3.15 peratus) memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 1,860 calon (2.94 peratus) pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 145 calon (0.21 peratus).

“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 8,362 calon (13.12 peratus) pada 2023 berbanding 7,860 calon (12.44 peratus) pada 2022, peningkatan sebanyak 502 calon (0.68 peratus),” katanya pada sesi pengumuman analisis keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 21,071 calon (33.06 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada 2023 berbanding 20,582 calon (32.57 peratus) pada 2022, peningkatan sebanyak 0.49 peratus.

Beliau berkata, calon yang layak menerima sijil juga meningkat iaitu 58,082 calon (91.14 peratus) berbanding 56,402 calon (89.25 peratus) pada tahun 2022.

“Bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang menduduki peperiksaan itu bagi tahun 2023 seramai 183 layak mendapat sijil daripada 275 calon,” katanya.

Sementara itu di Johor, seramai 1,247 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan cemerlang dengan 20 daripadanya memperoleh A+ bagi kesemua mata pelajaran.

MOHD Hanafi pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini. FOTO: NSTP

Pengarah Pendidikan Johor, Mohd Hanafi Samad berkata, Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Johor pada 2023 ialah 4.48, meningkat 0.11 mata berbanding 4.59 pada 2022.

Menurutnya, berdasarkan analisis pencapaian keputusan SPM mulai 2019 hingga 2022, pencapaian ini adalah terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Berdasarkan pencapaian kecemerlangan keseluruhan, seramai 20 calon memperoleh pencapaian Cemerlang semua mata pelajaran (semua A+).

“Manakala seramai 1,247 calon SPM 2023 berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 1,129 calon pada 2022.

“Keputusan juga menunjukkan peningkatan peratus calon yang Layak Mendapat Sijil (LMS) iaitu 93.80 peratus berbanding 91.54 peratus pada 2022, berlaku peningkatan sebanyak 2.26 peratus.

“Manakala daripada 133 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) menduduki SPM, lima pelajar menerima keputusan cemerlang iaitu 9A (dua orang), 8A (seorang) dan 7A (dua orang),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 42,221 calon menduduki SPM dengan 38,760 calon layak dapat sijil.

“Peningkatan peratus calon yang layak mendapat sijil (LMS) iaitu 93.8 peratus berbanding 91.54 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini