comscore
Tumpuan :
Nasional

Selangor Pergiat Kerjasama, Majukan Terminal Pelabuhan Klang

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKCT). – FOTO: Amirudin Shari/Facebook

Oleh Buletin TV3

PETALING JAYA: Selangor sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memajukan kawasan terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) yang dibuka semula pasca pandemik.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata hasrat itu selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya lokasi tersebut dipromosi untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Menjunjung kasih Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mencemar duli merasmikan PKCT.

“Pembukaan PKCT ini dijangka akan melonjakkan sektor pelancongan di Selangor dan memberi kesan positif kepada ekonomi setempat. Kerajaan Negeri bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan untuk memajukan kawasan PKCT dan menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya di Facebook hari ini.

FOTO: Amirudin Shari/Facebook

Semalam, Sultan Selangor dalam titah Baginda meminta Kerajaan Negeri mempergiat promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa bagi memastikan Selangor mampu menarik minat pengunjung.

Beroperasi sejak 2015, PKCT menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan untuk kapal persiaran serta kapal armada tentera laut di kawasan seluas 69.8 ekar.

Terminal itu turut dilengkapi ruang berhawa dingin, jambatan penghubung untuk naik dan turun kapal selain laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan antara dermaga serta terminal.

Turut disediakan ialah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kaunter pertukaran wang asing, kedai serbaneka, kedai cenderamata dan hadiah serta kedai bebas cukai.

Loading...
Terkini