comscore
Tumpuan :
Nasional

Selangor perlu sedia hadapi cabaran kemarau – Sultan Selangor

Foto hiasan

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap negeri Selangor bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim seperti musim kemarau.

Malah, Baginda turut menggesa rakyat menggunakan air harian secara cermat dan berhemah bagi menyumbang kepada peningkatan simpanan air semasa.

“Beta bersyukur kerana Selangor dilimpahi kemakmuran dan mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan rakyat beta.

“Bagaimanapun, wajar ada persediaan untuk menghadapi cabaran perubahan iklim seperti musim kemarau.

“Tahap kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah masih rendah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik yang tinggi dianggarkan sebanyak 215 liter seorang sehari.”

Titah Sultan Sharafuddin, baginda juga dimaklumkan mengenai komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu bekalan air dengan mengambil langkah proaktif mengurangkan risiko dan menjamin keselamatan air untuk negeri.

“Ketika ini banyak berlaku kejadian paip pecah disebabkan oleh paip yang usang, tekanan berlebihan ke atas paip dan juga vandalisme.

“Untuk menaik taraf rangkaian paip, kerajaan beta menyatakan komitmen menggandakan kadar penggantian paip daripada 150 kilometer (km) setahun kepada 300 km setahun.

“Beta menggesa semua pihak berkaitan untuk memberikan kerjasama bagi memastikan proses penggantian paip usang dapat disegerakan,” titah baginda.

Baginda juga menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan negeri mengurangkan kesan kenaikan tarif kepada rakyat dengan menyerap dan menanggung peningkatan kos bagi penerima air percuma mengikut Skim Air Darul Ehsan (SADE), sekolah, masjid, surau dan rumah ibadah bagi kemaslahatan rakyat.

“Kos tanggungan kerajaan akan meningkat kepada anggaran RM37.7 juta setahun, namun usaha ini akan meringankan beban rakyat dan menjadi manifestasi terhadap keprihatinan kerajaan beta,” titah baginda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini