
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memberi bantuan persekolahan sewajarnya kepada anak bekas kakitangan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang akan dimasukkan ke sekolah kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata bantuan itu sebagai langkah menyokong persekolahan kanak-kanak berkenaan yang sebelum ini hanya mendapat pendidikan secara tidak formal.
“Ada permohonan daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya 200 anak yang sudah selesai menjalani pemulihan ini masuk ke sekolah kebangsaan.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan persekolahan kepada mereka seperti anak yang lain, insya-Allah kita akan bekalkan secara peribadi kepada setiap anak.
“Setakat ini, belum ada peruntukan khusus (bantuan sekolah) tetapi kita juga menerima tawaran daripada penyumbang luar yang hendak bantu, kita tetapkan mungkin dalam RM200 untuk setiap anak yang bakal bersekolah nanti,” katanya ketika mengulas perkembangan terkini kanak-kanak GISBH berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran Penjenamaan Kita Selangor oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.
Mohammad Fahmi berkata, berdasarkan laporan diterima kerajaan negeri, sepanjang tempoh pemulihan, kanak-kanak berkenaan pintar membaca, menulis dan mengira.
“Bagi anak orang kurang upaya (OKU) yang jumlahnya tidak ramai, mereka boleh dimasukkan di sekolah kebangsaan (SK) seperti disyaratkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Mengulas bantuan asnaf Riqab kepada bekas ahli GISBH yang dipulihkan seperti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beliau berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) wajar memberi peruntukan itu kepada mereka terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.