comscore
Tumpuan :
Nasional

Selangor sedia bantu keperluan tambahan perubatan Faisal Halim – MB

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor bersedia membantu pemain negara Faisal Halim bagi tujuan perubatan susulan kejadian disimbah asid, yang berlaku Ahad lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan akan diberikan sama ada melalui dana kerajaan negeri ataupun dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anak-anak syarikat kerajaan negeri.

“Saya turut menyatakan kepada FAS kalau ada kebarangkalian atau keperluan tambahan untuk perubatan atau rawatan kepada saudara Faisal Halim, sila nyatakan dan kerajaan negeri bersedia membantu.

“Ini yang kita boleh laksanakan untuk (membantu) proses penyembuhan serta pemulihan saudara Faisal,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri MBI Selangor di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berharap kejadian yang berlaku ke atas Faisal bukan sabotaj yang sengaja dilakukan menjelang perlawanan Liga Malaysia (Liga M)  nanti.

“Ini satu peristawa yang wajar diberikan perhatian oleh semua pihak, semoga tiada unsur serangan kepada Faisal merupakan satu sabotaj terhadap persediaan pasukan terutamanya menjelang liga yang akan bermula.

“Saya berharap tidak sampai ke tahap itu.  Kalau sampai ke tahap itu perlu ada perubahan besar dalam pemikiran dan persaingan bola sepak di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau yakin permohonan Selangor FC (SFC) agar menunda perlawanan itu ada asasnya dan wajar dipertimbangkan sebaik mungkin.

“Kejadian ini amat menggemparkan, menyebabkan Faisal menerima rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi dan mengalami beberapa siri pembedahan yang agak kritikal.

“Saya percaya ini memberi kesan trauma kepada pemain-pemain.. bagaimana pemain ingin merasa selamat jika keadaan ini berlaku.

“Permohonan ini wajar dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak kerana asas pemainan bola sepak adalah ‘fair play’ Ini bukan sekadar racism tetapi mencederakan malah melibatkan nyawa.

“Saya percaya professionalism pihak berkuasa dan polis, harap disiasat sepenuhnya..cuma semakin lama dibiarkan, ini menimbulkan spekulasi yang tidak baik kepada bola sepak dan sukan dalam negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini