Tumpuan :
Nasional

‘Selepas ini tiada lagi kakak yang akan hubungi saya, tanyakan khabar’ – Adik

Oleh : Fatin Hanani Sahimi

BANGI : Pemergian Allahyarham Fauziah Jaafar, yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Melaka semalam meninggalkan kesan mendalam buat adiknya

Menurut Latifah Jaafar, 53 Allahyarham kakaknya disifatkan seorang yang ceria dan tidak pernah berkira dengan ahli keluarga.

“Arwah memang rapat dengan saya disebabkan sebelum ini saya pernah tinggal lama dengannya ketika melanjutkan pelajaran di kolej dan meskipun saya sudah berpindah rumah kakak masih selalu bertanyakan keadaan dan khabar saya.

“Dan kini apabila dia (arwah) sudah pergi, tiada siapa lagi yang akan hubungi bertanyakan keadaan saya,” luahnya sebak ketika ditemui Buletin TV3 di Surau Al Ikhlas Bandar Baru Bangi, di sini.

Dalam pada itu, anak saudara kepada mangsa Norriyani Idris, 41 memaklumkan Allahyarham sempat berkongsi gambar keluarganya dalam aplikasi Whatsapp.

“Kelmarin kita rasa pelik sedikit sebab dia (arwah) ada hantar gambar keluarga dengan hantaran ‘My family’ kepada kami, memperkenal keluarga baharunya.

“Namun tidak menyangka hari ini dia akan pergi. Saya pun tidak tahu kenapa dia tiba-tiba hantar,” katanya.

Norriyani difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Melaka namun tidak tahu tujuannya ke sana.

“Kami sekeluarga baru dimaklumkan mengenai kemalangan kira kira jam 5 pagi tadi ,” ujarnya.

Kejadian semalam itu turut mengorbankan Khairul Ikhwan Mazupi, 32, Ramli Ab Wahab (suami Fauziah), 66 Fadzlenna Ramli,32, dan Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.

Sementara itu, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan masing-masing berusia tujuh dan empat tahun cedera dan dirawat di Hospital Melaka.

Jenazah lima sekeluarga itu akan dibawa ke Surau Al Ikhlas Seksyen 4, Bandar Baru Bangi hari ini, untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini