comscore
Tumpuan :
Nasional

Seleweng dana MOF RM1.2 bilion: Bekas CEO agensi badan berkanun pula direman

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi suspek iaitu bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah agensi badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana peruntukan pinjaman daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi projek pembangunan di sekitar ibu negara yang bernilai RM1.2 billion.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an telah ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2021 dan telah menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman dengan memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima daripada MOF.

“(Wang dipindahkan) kepada syarikat kontraktor serta perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti yang dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan,” katanya.

Susulan penahanan berkenaan, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Semalam, SPRM menahan reman dua pegawai kanan sebuah agensi badan berkanun bagi kesalahan yang sama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini