comscore
Tumpuan :
Nasional

Seleweng RM2.3 bilion : Halim Saad nafi disiasat SPRM

 

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, menyangkal laporan media yang mendakwa kononnya beliau disoal siasat  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyeleweng RM2.3 bilion berkaitan pembelian saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia,  26 tahun lalu.

“SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu,” kata bekas pengerusi eksektif Renong Bhd menurut laporan FMT hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri berhubung dakwaan penyelewengan dana negara.

Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan, SPRM mula menyiasat kedua-dua individu terbabit selepas nama mereka tersenarai dalam Pandora Papers, sebagai watak yang mempunyai kaitan dengan tempat berlindung cukai luar pesisir.

Menurut Halim yang sekarang ini berkecimpung dalam industri minyak dan gas (O&G) di luar negara, beliau mengecam laporan akhbar The Edge yang mengaitkan dirinya dalam pemerolehan saham bernilai RM2.3 bilion.

Dalam laporan The Edge sebelum ini, sumber SPRM dikatakan mengesahkan transaksi berkenaan membabitkan pembelian 32.6 peratus kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, sewaktu krisis kewangan Asia.

The Edge juga bertindak menerbitkan semula tiga artikelnya mengenai pemerolehan saham Renong UEM dari November 1997 untuk ‘menyegarkan’ ingatan pembacanya.

Mengulas lanjut laporan itu, Halim berkata, artikel berkenaan mencetuskan spekulasi tidak berasas mengenainya selain menimbulkan pertikaian mengenai peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

“Saya cabar mereka kemukakan bukti mengenai salah laku saya dalam urus niaga berkenaan,” katanya.

Halim adalah watak yang memainkan peranan penting dalam pengembangan empayar korporat Renong Bhd pada pertengahan 1980-an hingga 1990-an.

Loading...
Terkini