comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Seleweng RM600 bilion : Syarikat ada kepentingan keluarga turut terbabit  – Anwar 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin untuk tidak mencabar beliau mendedahkan bukti penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri itu.

Perdana Menteri berkata ada beberapa perolehan kerajaan tidak mematuhi peraturan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat.

“Jadi saya nak beri peringatan kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerana memang ternyata ada beberapa proses dan prosedur tidak dipatuhi dan beberapa syarikat yang berkepentingan atau terkait dengan keluarga (Tan Sri Muhyiddin) juga terlibat (dalam dakwaan penyelewengan itu),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) sejurus memulakan tugas rasmi di Bangunan MOF hari ini.

Sebelum ini,  Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak berhubung penyelewengan dana RM600 bilion ketika pentadbirannya.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan semua wang terbabit dibelanjakan untuk membantu rakyat dan semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan ditetapkan.

Menurut Anwar, beliau pernah membangkitkan mengenai perbelanjaan RM600 bilion di Parlimen dua tahun lalu yang dianggap sengaja mengelirukan rakyat seolah-olah kerajaan ketika itu memberi wang yang banyak kepada rakyat.

Sedangkan katanya, sebahagian besar wang itu adalah wang rakyat sendiri melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta moratorium bayaran pinjaman bank.

“Saya ingin jelaskan bukan maksud saya (untuk mendedahkan penyelewengan ini), saya nak tumpu perhatian mengurus negara, memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat. Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat kalau boleh hentikan seperti mana RM7 bilion ini (projek tebatan banjir melalui rundingan terus).

“Mereka boleh uar-uarkan bersih, tetapi tidak bersih sama sekali bila kita sebut tentang kelulusan yang dibuat tidak mengikut peraturan, begitu juga tentang kelulusan semasa PKP,” katanya.

Semalam,  Anwar berkata, cadangan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran  Muhyiddin akan diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk dinilai.

Pada masa sama, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada badan siasatan untuk menyiasat isu berkenaan.

Loading...
Terkini