Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PELABUHAN KLANG: Kegiatan menyeludup diesel hampir RM1 juta menggunakan hos penyambung dari kapal tunda ke tangki minyak terbongkar dalam serbuan dilakukan di Jeti Bagan Hailam semalam.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, serbuan kira-kira jam 3 pagi hasil dua bulan risikan itu mendapati, saluran penyambungan itu dibuat sepanjang kira-kira 200 meter melalui bawah jeti berkenaan.
“Hasil pemeriksaan semasa serbuan mendapati premis terbabit iaitu jeti digunakan bagi kapal-kapal tunda berlabuh dengan operasi haram pemindahan sering dilakukan pada waktu malam.
“Ketika serbuan kami mendapati satu aktiviti yang disyaki mereka menyeleweng minyak diesel dan minyak itu telah di pam ke tangki simpanan di darat.” katanya.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati minyak diesel berada di beberapa bahagian di dalam kapal tersebut.
“Kita turut mendapati kapal tersebut didaftarkan dengan nama rakyat tempatan.
“Kita telah menahan lima orang lelaki, empat daripadanya warganegara Indonesia dan seorang lelaki tempatan. Mereka ini berusia dari 30 hingga 50 tahun.
“Semasa tangkapan, mereka semua ini berada dalam kapal tunda tersebut.” ujarnya lagi.
Katanya, pihak penguat kuasa KPDN turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang secara tiba-tiba mengaku sebagai pemilik kapal berkenaan bagi mendapatkan butiran lanjut untuk siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut kita akan memfokuskan punca bekalan mereka sama ada pembekal berdaftar atau tidak sah, dan ke manakah bekalan tersebut akan dibekalkan.
“Kita juga rampas sebuah kapal tunda, minyak diesel dan beberapa peralatan dan tangki simpanan.
“Kuantiti diesel yang dirampas melebihi 50,000 liter. Ini satu rampasan yang besar. Dan jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 16,876 pemeriksaan dilakukan bermula 1 Januari hingga 10 Disember lalu di seluruh negara.
“Sebanyak 732 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM73.11 juta. Bagi Semenanjung, petrol paling banyak diseludup manakala Sabah dan Sarawak melibatkan diesel,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.