comscore
Tumpuan :
Nasional

Semai rasa cinta pada kemerdekaan, perpaduan menerusi diskusi ilmiah

Tunku Muinuddin Putra (Ttengah) bertemu peserta program Bicara Tunku Abdul Rahman Putra Ah-Haj, di Muzium Kedah, Alor Setar.

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kesedaran terhadap kepentingan kemerdekaan dan unsur perpaduan yang menjadi asas perjuangan tokoh terdahulu perlu difahami bagi memastikan asas pembentukan negara ini, terus malar.

Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Al-Haj misalnya telah merangka kemerdekaan negara tanpa pertumpahan darah, konflik atau serangan luar.

Cucu Almarhum Perdana Menteri pertama itu, Tunku Muinuddin Putra Tunku Ahmad Nerang berkata diskusi ilmiah menjadi platform terbaik dalam mengingati sejarah kemerdekaan negara dan sumbangan tokoh-tokoh utama.

“Kemerdekaan ini bukan hanya mengingati perjuangan yang dibawa Almarhum seorang. Ramai lagi tokoh yang wajar dibincangkan termasuk Tun Tan Cheng Lok, Tun V.T Sambathan dan Tun Abdul Razak.”

“Malah, tidak salah sekiranya diadakan satu hari yang dikhususkan dalam memperingati tokoh-tokoh ini bagi menceritakan idelogi, kefahaman dan aspirasi yang mereka mahukan dalam membangunkan negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata pihaknya merangka program Bicara Tokoh, bagi mencakna pengetahuan generasi muda tentang kehebatan kepimpinan tokoh pemimpin negara.

“Rancangan kita adalah bagi mengadakan program ini sekurang-kurangnya empat kali dalam setahun. Kita sudah mempunyai satu senarai tokoh pilihan yang akan kita bincangkan keperibadiannya, serta sumbangannya dalam bentuk diskusi.”

“Bersempena Tahun Melawat Kedah yang dijadualkan tahun hadapan, Muzium Kedah akan menampilkan banyak program yang menyentuh pemahaman sejarah terutamanya melibatkan tokoh dari negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Bicara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di sini hari ini yang turut disertai Ahli Sejarah, Profesor Madya K.Nadaraja.

Program ini anjuran bersama Muzium Negeri Kedah, Insitut Pemikiran Tun Dr.Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia, Gabungan Pelajar Semenanjung negeri Kedah, dan Perbadanan Perpustakaan Awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini