comscore
Tumpuan :
Nasional

Semakan kenaikan gaji minima, selaras kenaikan kos sara hidup – MEF

PUTRAJAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat kenaikan gaji minima untuk penjawat awam daripada RM1,759 kepada lebih RM2,000 amat wajar kerana kadar berkenaan tidak disemak setelah sekian lama.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berpandangan, semakan berkenaan adalah berdasarkan kenaikan kos sara hidup yang berlaku pada masa ini.

“Untuk kenaikkan saraan penjawat awam yang melebihi 13% paling tinggi setakat ini, itu adalah juga sesuatu yang amat dinantikan.

“Penjawat awam telah 12 tahun tidak mendapat sebarang semakan,” katanya kepada Buletin TV3.

Meskipun semua penjawat awam layak menerima kenaikkan berkenaan, beliau berharap mereka perlu dinilai terlebih dahulu agar semua kakitangan kerajaan menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Ini adalah amat (lebih) membanggakan kerana pada akhirnya penjawat awam akan dinilai dari segi prestasi mereka untuk membolehkan mereka mendapat semakan.

“Jadi saya merasakan ini adalah satu permulaan yang amat baik dan akan berjaya meningkatkan nilai dan mutu kerja di sektor awam,” katanya lagi.

Jelas beliau kaedah itu dapat membantu memperbaiki lagi khidmat yang disampaikan oleh penjawat awam kepada rakyat.

Tambahnya, MEF berpuas hati dengan pengumuman itu tetapi sektor swasta perlu mengambil serius saranan Perdana Menteri agar penambahbaikan yang dibuat dijadikan contoh ikutan oleh sektor swasta

Selain itu, beliau berpendapat faedah daripada pengumuman hari ini bukan sahaja akan dinikmati oleh penjawat awam tetapi segenap lapisan masyarakat bakal menerima tempias positif.

“Apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri bahawa semua lapisan rakyat akan mendapat faedah daripada peningkatan yang diumumkan kepada penjawat awam itu adalah satu perkara yang amat baik.

“Kerana pada akhirnya ekonomi akan meningkat dan sektor swasta akan mendapat faedah daripada peningkatan ekonomi berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini