comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Sempat salam bapa sebelum maut kemalangan

FOTO: Ihsan Pembaca

LANGKAWI: Pelajar Tingkatan Enam sempat bersalam dengan bapanya sebelum terbabit dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya melanggar kerbau di Jalan Kuala Teriang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, Muhammad Dinie Izzat Mohd Shukor, 19, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa mangsa, Mohd Shukor Idris, 53, berkata sebelum kejadian arwah anaknya sempat bersalam dan memberitahu mahu keluar bermain badminton dan seterusnya menyertai sesi belajar berkumpulan bersama rakan.

Bapa mangsa, Mohd Shukor Idris, 53

“Malam tadi, selepas Maghrib arwah anak saya yang dipanggil adik datang bersalam dan beritahu nak pergi main badminton bersama rakan-rakan, kemudian katanya nak balik lewat sikit sebab ada ‘study group’.

“Selang beberapa minit selepas dia keluar rumah dengan menunggang motosikal, ada kawan telefon beritahu anak kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, hari ini.

Mohd Shukor berkata, sebaik tiba di tempat kejadian hatinya luluh selepas mendapati anak bongsu dari tiga beradik itu sudah tidak bernyawa dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kemalangan itu mangsa tidak sempat membrek sebelum melanggar kerbau yang sedang melintas jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini