Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua lapangan terbang di seluruh negara sentiasa di dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras aktiviti membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, pihaknya menumpukan pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ia menerima jumlah pengembara yang paling tinggi.
“Kita sentiasa memantau semua lapangan terbang yang mana sebagai satu pintu masuk kepada warga luar yang masuk ke dalam negara.
“Cuma yang kita lihat (lapangan terbang) yang paling besar adalah di KLIA, sebab itu kita tumpukan di KLIA kerana KLIA merupakan pusat kemasukan pihak-pihak luar.
“Mungkin ada di tempat-tempat lain, Johor pun ada juga pintu masuk tapi yang besarnya di KLIA, di negeri-negeri berkenaan yang perlu melalui pemeriksaan Imigresen, pemantauan juga dibuat,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) 2024 Peringkat Negeri, di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Azam ditanya sama ada SPRM akan memperluaskan pemantauan ke lapangan terbang lain yang kecil termasuk di Sabah dan Sarawak susulan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi laluan kaunter khas (counter setting).
SPRM sebelum ini telah menahan 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’ di pintu masuk negara menerusi Op Pump, Op Pump 2.0 dan Op Setting yang dijalankan sejak 20 Ogos lalu.
Sebelum ini, Azam dilaporkan menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen sehingga membuka ruang kepada sindiket tersebut.
Jelas beliau, masalah utama antaranya disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.
Kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA Terminal 1 dan 2 tidak sistematik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.