comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua menteri diarah turun padang tinjau harga, kuantiti barangan

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua Jemaah Menteri diarah meluangkan lebih masa untuk turun padang meninjau isu harga dan kuantiti barangan di pasaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada barisan menteri pada mesyuarat Kabinet hari ini.

“Ini susulan daripada maklum balas diterima Perdana Menteri di siri program yang telah beliau hadiri dan penekanan ini juga diberikan sebelum kita sambut Aidilfitri. Jadi pesanan dan arahan daripada Perdana Menteri akan dilaksanakan semua menteri,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sebelum ini tular klip video di media sosial seorang wanita menegur Anwar selepas beliau menghadiri satu program di Perlis.

Video berdurasi 22 saat itu menyaksikan wanita itu merungut kepada Anwar berhubung harga barang keperluan yang semakin mahal di pasaran.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, beberapa pengumuman penting terutama bagi syarikat pemula niaga pada Sidang Kemuncak KL20 2024 yang berlangsung 22 hingga 23 April ini di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri pada hari ini, ada penegasan tentang betapa pentingnya program ini untuk mengetengahkan aspek bagi ‘start-up’ ataupun syarikat yang akan atau baharu dimulakan terutama dalam bidang teknologi.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri akan ada siri pengumuman ataupun promosi yang akan diterajui oleh Kementerian Ekonomi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilapor berkata, acara Sidang Kemuncak KL20 2024 bakal melonjakkan Malaysia dalam kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030 selain memacu kedudukan negara ini bagi syarikat berkenaan serta modal teroka.
Lebih 1,000 peserta dalam kalangan pelabur antarabangsa dan syarikat pemula niaga dijangka menghadiri KL20 2024.

Ini termasuk perintis industri seperti Rakan Kongsi Pengurusan GGV Capital Jenny Lee; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Hive Geraldine Andrieux Gustin dan Naib Presiden Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan China Investment Corp Qi Bin yang akan berkongsi pandangan mengenai faktor yang merangka masa depan keusahawanan dan inovasi.

Acara itu akan turut mengetengahkan potensi Malaysia sebagai persekitaran serba kondusif untuk syarikat pemula, terutama dalam sektor utama seperti pembuatan dan automasi, teknologi pertanian atau agritech, teknologi bersih serta kewangan Islam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini