PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap semua negeri menggunakan tema serta logo sambutan yang sama seperti diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.
Fahmi memaklumkan pihaknya menerima respons beberapa Menteri Besar yang menyatakan kesediaan bagi menggunakan logo serta tema sambutan yang sama di peringkat negeri.
“Semua negeri (diharap) turut serta guna tema sama, ini harapan kita. Masa berpolitik telah tamat, pilihan raya negeri (PRN) telah selesai.
“Satu ketika dahulu, kita kibarkan bendera parti, sekarang kita kibarkan bendera Malaysia. Ini tujuan kita, tugasan kita untuk rapatkan silaturahim, eratkan hubungan sesama kita dan pupuk perpaduan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini.
Mei lepas, Fahmi mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, dan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.
Sabtu lalu Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari dalam satu siang media mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Perlis yang berada di bawah pentadbiran PN menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri.