comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua perolehan sistem ICT kerajaan diperkemas melalui Jabatan Digital Negara

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Semua perolehan sistem teknologi maklumat dan komunikasi ICT kerajaan yang melibatkan entiti kerajaan diperkemas melalui Jabatan Digital Negara JDN di bawah Kementerian Digital.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata arahan yang dikeluarkan pada Jun lalu perlu melalui proses yang ketat dan teliti untuk menghapuskan masalah sebelum ini melibatkan permohonan bertindih.

“Pada bulan Jun tahun ini, satu arahan telah dikeluarkan yang mewajibkan semua perolehan ICT kerajaan yang melibatkan entiti kerajaan diperkemas melalui Jabatan Digital Negara di bawah Kementerian Digital.

“Proses yang ketat dan teliti bertujuan untuk menghapuskan masalah sebelum ini yang melibatkan permohonan bertindih, perolehan sistem yang tidak berkesan atau lapuk, dan masalah lain yang berkaitan termasuk masalah-masalah yang melibatkan pembekal (vendor).” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, langkah itu juga bagi menangani perolehan sistem yang tidak berkesan atau lapuk, dan pelbagai masalah lain berkaitan termasuk melibatkan pembekal.

Selain mengurangkan kerumitan proses permohonan serta kelewatan yang memberi kesan besar kepada projek secara keseluruhan.

Oleh itu, pihaknya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyelia skim baharu tersebut dan mencadangkan penambahbaikan lanjut yang akan memperbaiki proses perolehan pada masa hadapan.

Gobind turut berkata, JDN juga telah menyemak sejumlah 141 projek sedemikian yang sebelum ini telah tertangguh, di bawah arahan baharu itu.

Sebelum ini Majlis Keselamatan Negara MKN mendedahkan, tahap sistem ICT di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan pada ketika ini disifatkan lemah, sekali gus mengundang risiko ancaman serangan siber dan manipulasi pihak tidak bertanggungjawab dengan mudah.

Selain sebanyak 150 daripada 740 sistem ICT yang aktif di sebuah agensi kerajaan tidak diketahui pemiliknya.

Dalam pada itu, pihaknya juga sedang mengkaji semula serta menambah baik dasar keselamatan ICT sektor awam sedia ada, dan sedang mempertimbangkan untuk menerima pakai solusi baharu dan amalan terbaik yang akan melindungi aset dan data digital dengan lebih baik.

“Mempertimbangkan untuk menerima pakai solusi baharu dan amalan terbaik (best practices) seperti Privacy by Design (PbD), Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA) dan Teknologi Peningkatan Privasi (PET), bersama audit keselamatan siber dan penilaian risiko, yang akan melindungi aset dan data digital dengan lebih baik.” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini