comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua pihak diminta permudah proses kelulusan perniagaan, pelaburan asing

FOTO: Zahid Hamidi/ Facebook

SHANGHAI: Semua pihak terlibat dalam memberi kelulusan berkaitan permohonan perniagaan serta pelaburan asing terutama China, digesa untuk mempermudah serta mempercepatkan proses berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia bagi memastikan China sebagai rakan perniagaan terbesar Malaysia itu, dapat terus memperluas kegiatan perniagaan serta pelaburan mereka ke Malaysia melalui kedua-dua sektor berkenaan.

“Saya harap Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ataupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan lain-lain organisasi di bawah MITI, akan beri kemudahan (proses kelulusan permohonan) bukan hanya agensi sehenti (tetapi) beri kemudahan dalam hal kelulusan ini.

“Saya meminta juga supaya badan-badan pihak berkuasa tempatan (PBT), permudahkan untuk kelulusan bagi mereka perluaskan kegiatan mereka dari negara China, sebab mereka mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap kestabilan politik di negara kita, iklim pelaburan yang baik di negara kita, peraturan cukai yang baik di negara kita.

“Jadi, semua agensi yang terlibat dalam memberi kelulusan perniagaan datang dari China dan negara-negara lain, mesti dipermudah dan dipercepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shanghai di sini, hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid turut berkata, sekiranya proses dalam kelulusan permohonan berkenaan tidak dilaksanakan secara segera dan proaktif, kemungkinan China akan melakukan pelaburan di negara ASEAN yang lain.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Syed Farizal Aminy Syed Mohamad dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau kini dalam rangka lawatan rasminya yang pertama ke China sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan selama 11 hari bermula 22 Mei adalah atas jemputan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ini merupakan lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Pada 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia dan semasa tahun yang sama, sejumlah 64 projek perkilangan telah diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM12 bilion (US$2.6 bilion).

China menduduki tempat kelima sebagai pelabur terbesar dan projek-projek ini dijangka mewujudkan 9,305 peluang pekerjaan.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini