comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua pihak perlu akur larangan ceramah politik di masjid – PM

PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak menghormati dan akur terhadap arahan pihak berkuasa agama negeri mengenai larangan ahli politik menyampaikan kuliah atau ceramah politik di masjid dan surau.

Anwar berkata, soal kebenaran memberi kuliah atau ceramah itu terpakai kepada semua pihak termasuk dirinya.

Menurutnya, beliau sendiri mengelak untuk memberikan tazkirah atau ceramah di masjid, jika dijemput bagi menghormati larangan berkenaan.

“Dalam menghormati arahan, saya mengelak (beri tazkirah atau ceramah) apabila singgah di masjid setiap Jumaat untuk bersolat dan hanya bersalaman serta beramah mesra dengan para jemaah yang ada,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ditemui media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Sabtu lalu,  Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat mempertikaikan larangan ahli politik memberikan kuliah, ceramah agama dan khutbah Jumaat di semua masjid serta surau di Terengganu.

Larangan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu itu diperkenan Sultan Mizan Zainal Abidin dan bertujuan memastikan tempat ibadat tidak disalah guna untuk politik kepartian.

Bagaimanapun, Hadi berkata pihaknya akan terus memberikan ceramah dan kuliah seperti biasa di surau dan masjid di Terengganu.

Ditanya mengenai pendirian Hadi itu, Anwar menegaskan larangan itu dibuat bagi mengelak pihak tertentu menjadikan masjid sebagai medan menyuburkan agenda politik mereka.

”Rasional yang dibuat kerajaan negeri ini adalah kerana terlalu banyak adegan bicara soal agama yang terlalu keras jalur politiknya, kepartian. jadi setakat ini kalau dia tak setuju dia patut bawa memo persembah kepada Tuanku, jangan serang kami”, katanya.

Anwar berkata larangan serupa turut dikuatkuasakan di beberapa negeri lain termasuk Perak.

”Kebetulan orang itu ustaz tapi kuliahnya politik, yang dilarang Sultan dan Majlis Agama itu adalah kuliah politik oleh orang politik ini termasuk Perdana Menteri.”, ujarnya lagi.

Loading...
Terkini