comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua terbabit kes SPANCO akan disiasat – SPRM

 

Tan Sri Azam Baki pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah Bersama Pengamal Media Sarawak, hari ini.- Foto: NSTP

KUCHING: Semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (SPANCO) sejak ia beroperasi pada 1990-an akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu.

Beliau berkata, keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Kita akan panggil sesiapa saja yang membuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk memberi projek kepada SPANCO.

“Kita lihat sejarah penubuhan syarikat itu pada 1998 atau 1999, jadi sesiapa sahaja yang terbabit ketika itu termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan panggil untuk rekod kenyataan dan mengetahui apa yang mereka tahu berkenaan kes,” katanya pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah Bersama Pengamal Media Sarawak, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan SPANCO hanya merugikan negara.

Ujarnya, beliau tahu kontrak terbabit juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan, selain bertegas terhadap SPANCO itu sejak menjadi Menteri Kewangan.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Difahamkan, SPRM telah merakamkan keterangan beberapa saksi penting termasuk daripada agensi kerajaan dan individu daripada syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

SPRM sebelum ini juga menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia lingkungan 70-an serta merampas dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan yang menyebabkan pembekuan akaun bank seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit.

Tan Sri Azam berkata, ketika ini tiada pendakwaan dijalankan kerana pihaknya masih dalam peringkat awal siasatan dan pegawai penyiasat masih memeriksa fakta kes.

“Isu ini yang dilaporkan kepada SPRM ialah apabila terjadi pertikaian selepas pembatalan kontrak pada satu syarikat dan macam mana pula SPANCO dapat kontrak dari dulu hingga sekarang, itu fokus siasatan sekarang.

“Kita telah memanggil lebih 20 individu dan juga membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu berkaitan dalam kes itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini