comscore
Tumpuan :
Nasional

Senarai nama Pengerusi SPA baharu dipersembah ke mesyuarat Majlis Raja-Raja

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Senarai nama calon Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) baharu akan dipersembah dan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali susulan kekosongan jawatan nombor satu suruhanjaya berkenaan sejak Julai tahun lalu selepas Tan Sri Zainal Rahim Seman menamatkan perkhidmatan.

“Itu kena tunggu (pelantikan), (senarai nama) dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan diputuskan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Santapan Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon PUSPANITAPURI, di sini hari ini.

Untuk rekod, Zainal Rahim menamatkan perkhidmatan pada 24 Julai 2023 selepas dilantik memegang jawatan berkenaan pada 25 Julai 2018.

Susulan itu, semua mesyuarat SPA yang melibatkan pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan penjawat awam terus berlangsung dengan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPA.

Namun bagi urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan kawalan tatatertib anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, Pengerusi SPA hendaklah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengadakan sekurang-kurangnya empat mesyuarat setahun.

Bagaimanapun, semenjak Julai 2023, Mesyuarat SPKP tidak dapat diadakan kerana ketiadaan Pengerusi SPA yang juga merangkap Pengerusi SPKP.

Sementara itu, ditanya mengenai status kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zuki berkata, beliau akan bertanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.

“Saya akan buat kenyataan (status kontrak Azam Baki), saya tanya Perdana Menteri dahulu,” katanya.

Tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM akan tamat pada 12 Mei ini selepas dilanjutkan selama setahun pada tahun lalu.

Azam dilantik mengetuai suruhanjaya terbabit pada 9 Mac 2020 berikutan peletakan jawatan Latheefa Koya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini