comscore
Tumpuan :
Nasional

Sentiasa patuhi peraturan ditetapkan ketika laksana ibadah umrah – MAIS

SHAH ALAM: Umat Islam di Selangor yang ingin ke luar negara terutama bagi melaksanakan ibadah umrah diingatkan supaya mematuhi undang-undang ditetapkan negara berkenaan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini khususnya yang membabitkan pelanggaran tempoh visa.

“Pihak kami tegas berhubung perkara ini susulan insiden sekumpulan jemaah umrah tempatan yang turut membabitkan jemaah dari Selangor terkandas di Arab Saudi.

“Bagaimanapun, mereka sudah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 7 November lalu dengan bantuan Kementerian Luar.

“Ia adalah ketibaan kedua membabitkan jemaah umrah yang terkandas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, jemaah umrah itu turut mengingatkan kepada umat Islam yang merancang untuk mengerjakan umrah supaya lebih berhati-hati supaya perkara menimpa mereka tidak berlaku kepada orang lain.

Media sebelum ini melaporkan seramai 63 jemaah umrah terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak dilaporkan terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Jemaah berkenaan dilaporkan dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

Mereka dikatakan terpedaya dengan pemimpin tarekat berkenaan yang mendakwa kononnya Imam Mahdi akan muncul di Arafah.

Kumpulan pertama membabitkan 36 jemaah selamat tiba di KLIA pada 4 November dan selebihnya, pada 7 November selepas mendapat bantuan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini