
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera, selepas terbabit dalam kemalangan babitkan dua buah kenderaan di Jalan Tanjung Bin, Pontian, malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Vun Tat Shin, 42 tahun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, kemalangan membabitkan sebuah kereta Mercedes yang bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, Honda CRV kira-kira jam 9 malam tadi.
Katanya, terdapat lima orang mangsa dalam Honda CRV iaitu tiga lelaki dan dua wanita.
Mangsa yang maut iaitu pemandu Honda CRV yang tersepit di tempat pemandu.
Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
Manakala empat lagi penumpang yang masing-masing berumur 36 hingga 43 tahun yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pemandu kereta Mercedes masih gagal dikenalpasti identitinya.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan Polis.