
TANJUNG MALIM: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori membawa muatan motosikal yang sedang parkir di tepi jalan berdekatan Hentian Behrang, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, nahas menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit.
“Kemalangan maut berkenaan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang dipercayai telah melanggar belakang sebuah lori muatan motosikal yang diparkir di tepi jalan.
“Terdapat tiga orang mangsa lelaki telah tersepit manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, operasi mengeluarkan mangsa melibatkan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim yang dikejarkan di tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.06 pagi.
Sayani berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan, (EMRS) dan ambulan.
Manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.