comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang parah, 2 cedera ringan dalam nahas babitkan 8 kenderaan

KUALA KANGSAR: Seorang parah dan dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara iaitu kira-kira tiga kilometer dari Terowong Menora, di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan lima kereta dan tiga motosikal.

Beliau berkata, panggilan berhubung kejadian diterima pada jam 10.28 malam tadi dengan anggota dari Balai Bomba dan Penyrlamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu keanggotaan BBP Meru Raya digerakkan ke lokasi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan keseluruhan lapan mangsa iaitu seorang parah, dua cedera ringan, manakala lima yang lain tidak cedera.

“Mangsa yang parah adalah seorang wanita yang memandu kereta Perodua Myvi dengan kenderaan itu didapati dalam keadaan terbalik akibat kejadian itu, manakala dua mangsa yang cedera masing-masing penunggang motosikal.

“Selain itu, empat mangsa yang memandu kereta berasingan dan seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata, anggota bomba membantu pihak pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil mangsa yang parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans, manakala dua mangsa yang cedera ringan diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital.

Katanya, operasi menyelamat membabitkan 20 anggota dan empat jentera itu tamat jam 11.49 malam tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini