comscore
Tumpuan :
Nasional

Seramai 983 calon SPM MRSM peroleh keputusan semua A

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Oleh Ifara Wahid

KUALA LUMPUR: Seramai 983 calon daripada 55 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara yang menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 memperoleh keputusan semua A.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan kali ini mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.485 dengan 100% calon layak menerima sijil peperiksaan berkenaan.

“Pencapaian SPM 2022 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan bilangan calon yang memperoleh semua A+ adalah seramai 30 dan bilangan calon yang memperoleh semua A (A+, A dan A-) adalah seramai 953 orang berbanding 904 orang pada tahun 2021.

Selain itu, terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah,” katanya pada sidang media Perhimpunan Agung UMNO di ibu negara hari ini.

Menurut Datuk Dr. Asyraf, lima buah MRSM terbaik bagi keputusan SPM kali ini ialah MRSM Kepala Batas, MRSM Langkawi, MRSM Tun Abdul Razak, MRSM Tun Ghafar Baba dan MRSM Johor Bahru dengan GPM kurang daripada 2.0.

“Di samping itu, pencapaian subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal serta Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

“Manakala subjek elektif seperti Prinsip Perakaunan dan Bahasa Arab juga menunjukkan peningkatan GPS,” katanya.

Tambah Datuk Dr. Asyraf, MRSM Kota Putra mencatatkan keputusan 100% A bagi subjek Bahasa Arab.

Menurutnya, MARA komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon-calon SPM tahun 2023 dan memperkasakan bidang STEM.

Loading...
Terkini