comscore
Tumpuan :
Nasional

Serang Balai Polis Ulu Tiram: Kes dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan memindahkan kes lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram 17 Mei lalu. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan memindahkan kes lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram dalam insiden 17 Mei lalu, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur .

Hakim Rasidah Roslee memutuskan demikian ketika prosiding sebutan semula kes terbabit dan memerintahkan tertuduh, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, bersama anaknya, Radin Romyullah, 34, ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

Isteri Radin Imran, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura dan anak perempuan mereka, Farhah Sobrina, 23, diperintah ditahan di Penjara Kajang, manakala Mariah, 19, di Hospital Permai Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yaziq Mustaqim Roslan, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Faizal Rahman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.

Pada 19 Jun lalu, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan IS, namun tiada pengakuan direkodkan.

Radin Imran berdepan empat pertuduhan, termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan IS.

Fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya, membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, Rosna serta tiga anak yang lain.

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS.

Bagi pertuduhan terbabit, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.

Radin Imran dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) kanun sama, memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Bagi tuduhan kempat, dia didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkait kumpulan IS dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a).

Radin Romyullah yang juga suspek kedua juga didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a), memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan pengganas.

Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah pula dituduh sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkait kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) serta Seksyen 130G(a) dan didakwa mengikut Seksyen 130M kanun sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini