comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan siber sasar perniagaan di Malaysia meningkat 197 peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ancaman laman web yang menyasarkan perniagaan di Malaysia meningkat 197 peratus tahun lalu.

Menurut keselamatan siber global dan penyedia antivirus, Kaspersky, serangan laman web melonjak pada 2022 dengan merekodkan 13,381,164 kes berbanding 9,180,344 kes pada 2021.

Ketika pandemik berada di kemuncak pada 2020, ia menghalang 10,200,817 serangan laman web daripada menjangkiti perniagaan di Asia Tenggara.

Kaspersky berkata, Singapura mencatat lonjakan tertinggi tahun ke tahun dari segi ancaman web yang menyasarkan perniagaan tahun lalu.

“Negara di Asia Tenggara mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda (329 peratus) selepas penyelesaian perniagaan Kaspersky menyekat sejumlah 889,093 serangan siber, kenaikan yang mengejutkan daripada jumlah keseluruhan 207,175 pada 2021.

“Peningkatan itu juga dicatat di negara Asia Tenggara lain dengan Malaysia (197 peratus), Thailand (63 peratus), Indonesia (46 peratus) dan Filipina (29 peratus).

“Hanya Vietnam menyaksikan penurunan sedikit (-12 peratus) selepas merekodkan hanya 2,485,168 insiden ancaman web tahun lalu berbanding 2,822,591 pada 2021,” katanya.

Ancaman berasaskan laman web atau ancaman dalam talian, merujuk kepada percubaan untuk memuat turun objek/perisian berniat jahat daripada tapak laman web berniat jahat atau dijangkiti dengan perisian hasad.

Kaspersky berkata, ancaman laman web disebabkan kesilapan pengguna, pembangun dan pengendali perkhidmatan web atau perkhidmatan laman web itu sendiri.

“Tidak kira niat atau punca, akibat ancaman laman web boleh merosakkan individu dan organisasi,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini