comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan udara Yaman: Rakyat Malaysia selamat, jauh dari kawasan konflik

Wisma Putra .- Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang menetap di Yaman berada dalam keadaan selamat dan jauh dari kawasan konflik berikutan serangan udara diketuai pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) bersama United Kingdom (UK) yang menyasarkan kawasan kawalan Houthi di negara itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Muscat sentiasa berhubung dengan mereka yang kebanyakan adalah pelajar.

“Rakyat Malaysia di Yaman digesa supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa oleh pihak berkuasa tempatan.

“Memandangkan situasi keselamatan di Yaman masih tidak stabil, Kementerian Luar menasihatkan semua rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Yaman,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Kedutaan Besar Malaysia di Muscat sedang memantau teliti perkembangan terkini di Yaman berikutan serangan berkenaan.

Untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Muscat yang beralamat di Villa No. 2443, Way 3030 Shatti Al Qurum, P.O. Box 51, Bareeq Alshati, Muscat boleh dihubungi menerusi talian + (968) 2469 8329 atau + (968) 7159 2388 atau e-mel di [email protected].

Sebelum ini, media melaporkan, AS dan UK melancarkan serangan udara sejak semalam terhadap kedudukan Houthi di empat wilayah di Yaman termasuk ibu negara Sana’a dan bandar Al Hudaydah, Saada dan Taiz.

Pegawai AS dan UK mengesahkan serangan udara berkenaan sambil mendakwa ia mensasarkan kemudahan dan kedudukan Houthi sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah dan bukannya penduduk awam.

Houthi mendakwa pihaknya sedang melancarkan serangan ke atas pangkalan dan kedudukan tentera UK dan AS serta mengancam bahawa Washington dan London akan menerima akibat susulan serangan besar-besaran itu.

Loading...
Terkini