comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Seremban dilanda banjir kilat


SEREMBAN: Lebih daripada 10 kawasan di daerah ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat luar biasa lebih tiga jam, hari ini.

Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Semarak dan Kampung Dato Mansor, Rahang, Kampung Ampangan, Kampung Batu Tiga Mambau dan Bukit Chedang, selain pusat bandar Seremban serta pusat perindustrian Sungai Gadut Senawang.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Semarak, Hassan Hussin, 66, berkata, sekurang-kurangnya 60 rumah penduduk kampung itu terjejas selepas hujan lebat berlarutan sejak 6.30 petang.

Antara rumah penduduk di Kampung Semarak, Rahang yang dilanda banjir kilat.- Foto ihsan Pembaca

“Rumah penduduk dinaiki air lebih satu meter. Kebanyakan mereka berada di rumah ketika air naik dan setakat ini tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Seorang penduduk, Zaharuddin Abd Majid, 44, berkata, air naik dengan cepat menyebabkan mereka bertungkus lumus menyelamatkan barangan berharga.

Menurutnya, terdapat penduduk yang tidak sempat mengalihkan kenderaan.

“Ini kali pertama banjir kilat besar berlaku tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, beberapa sungai di Seremban menunjukkan trend peningkatan dan mencecah paras bahaya.

“Antara kawasan yang dinaiki adalah di Kampung Batu 3 Mambau yang mana kami memindahkan seorang wanita warga emas yang menggunakan kerusi roda.

“Kawasan lain adalah Kampung Ismail, Kamoung Jiboi, Blok C dan Blok B masing-masing di Ampangan, Kampung Semarak di Rahang, Taman Happy, Kampung Kuala Sawah dan Taman Angsamas Batu 5,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan operasi serta pemantauan masih dijalankan memandangkan sehingga 10 malam, hujan belum reda.

Di media sosial pula, antara kawasan yang dilaporkan dinaiki air adalah sekitar Bandar Seremban dekat Jalan Tuanku Antah, Rasah serta Kawasan Perindustrian Taman Tuanku Jaafar (TTJ).

Di Kawasan Perindustrian TTJ, sebuah kereta dilaporkan ditenggelami air, namun tidak diketahui statusnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini