comscore
Tumpuan :
Nasional

Sesat 6 jam dalam kebun getah, kelapa sawit angkara aplikasi trafik

Zulkhairi (kanan) memberi semangat kepada lelaki yang tersesat lebih 6 jam di kawasan ladang kelapa sawit dan getah di Felda Teloi Timur. -FOTO: Ihsan Bomba

SIK: Seorang penunggang motosikal tersesat lebih enam jam dalam kebun getah dan kelapa sawit di Felda Teloi Kanan, di sini, selepas menggunakan aplikasi trafik untuk pulang ke rumah abangnya di Sungai Petani.

Mangsa berusia 32 tahun dikatakan pulang beraya dari rumah rakannya di Sungai Lalang, Sungai Petani kira-kira 1 pagi tadi, namun tersesat akibat menggunakan aplikasi berkenaan.

Berikutan itu, dia kemudian menghubungi pasukan bomba selepas gagal mencari liputan telekomunikasi di kawasan berkenaan kira-kira 7 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada mangsa, pihaknya bergegas ke lokasi untuk melakukan penyelamatan.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Honda RS ditemukan keadaan terketar-ketar dan menangis teresak-esak selain lemah pada 8.10 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat mangsa, dia yang menunggang motosikal seorang diri tidak menyangka akan tersesat sehingga ke kebun getah dan ladang kelapa sawit berkenaan.

“Ini kerana dia hanya berpandukan aplikasi itu secara langsung untuk pulang bermalam di rumah abangnya di Sungai Petani, namun tersesat lebih 10 kilometer dari jalan besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkhairi berkata, pemuda itu mendakwa dia tersesat dan pandangannya gelap menyebabkannya panik lalu cuba mencari jalan keluar tetapi gagal menemuinya.

Menurutnya, mangsa kemudian melalui jalan berselut dan tanah merah menyebabkan dia pasrah dan cuba menghubungi pihak bomba, namun gagal disebabkan tiada liputan telekomunikasi.

“Bagaimanapun, dia hanya berjaya menghubungi bomba pada 7 pagi tadi selepas puas mencari rangkaian liputan.

“Mangsa mendakwa terdengar bunyi binatang buas dan lembaga sepanjang berada dalam kebun getah dan kelapa sawit itu, namun reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, mangsa yang mengalami luka ringan lalu dihantar ke Klinik Kesihatan Teloi Timur untuk mendapatkan rawatan.

 

Loading...
Terkini