comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Set kombo MADANI tepung, kerisik, telur, sayur hanya RM10  

KUALA LUMPUR: Set bakul kombo mengandungi sepeket tepung, kerisik, telur gred A, kobis, timun dan terung pada harga hanya RM10.

Itu antara tarikan buat pengunjung Jualan Mega Madani sempena Program Setahun Bersama Malaysia MADANI yang bermula semalam sehingga esok di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Jualan bahan makanan pada harga serendah itu hasil inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Penolong Pegawai Tadbir di Ibu Pejabat FAMA, Mohd Rizal Mazlan, berkata set kombo yang dikenali sebagai Kombo MADANI itu sebelum ini hanya dijual di kompleks kerajaan dengan harga asal RM15.

“Namun sempena program ini, kita beri diskaun kepada pembeli, set kombo ini hanya dijual pada harga RM10. Sempena program tiga hari ini, kita sudah menyediakan sebanyak 2,000 set kombo ini dan mendapat maklum balas baik daripada orang ramai,” katanya hari ini.

Selain set kombo terbabit, pengunjung juga boleh membawa pulang seekor ayam serta telur ayam pelbagai gred pada harga sama yang ditawarkan sepanjang tiga hari program berlangsung.

Penganjuran Jualan Mega MADANI diadakan sebagai usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Pengunjung boleh membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan serta diskaun sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Seramai 183 usahawan menyertai jualan mega itu yang merangkumi Jualan RAHMAH, Jualan MADANI Koperasi, Jualan Agro MADANI, Jualan MyGrocer@Wilayah, Jualan Usahawan, Jualan Anekarasa MADANI, Jualan Trak Makanan dan Padanan Perniagaan.

Loading...
Terkini