comscore
Tumpuan :
Nasional

Setiausaha Politik Premier Sarawak buat laporan polis terhadap “Bozz Jebat”

KUCHING: Satu lagi laporan polis dibuat ke atas bekas ahli UMNO, Zool Amali Hussin atau ‘Bozz Jebat’ kerana menghina Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi platform media sosial.

Laporan polis itu dibuat 12 Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak diketuai John Nyigor di Balai Polis Satok di sini pagi tadi.

Menurut John Nyigor, laporan itu dibuat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu berkenaan.

“Tindakan individu dikenali Bozz Jebat itu berupaya menimbulkan rasa tidak senang masyarakat awam khususnya di Sarawak sekali gus berupaya mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan di Balai Polis Satok di sini.

Beliau berharap satu tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap Bozz Jebat sebagai pengajaran kepada individu lain agar berhati-hati ketika melemparkan kritikan atau pendapat mereka.

“Terus ambil tindakan dan tidak perlu tunggu ada laporan kerana kita mahu keharmonian agama terus berkekalan dalam negara kita. Orang seperti ini perlu diberikan pengajaran seharusnya agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menggangu gugat keharmonian yang ada di negara ini,” katanya.

Terdahulu Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan polis Sarawak menerima tiga laporan berkenaan perkara itu masing-masing dua laporan diterima di Balai Polis Santubong dan satu di Balai Polis Gita.

Laporan polis terbaharu itu menjadikan empat laporan polis yang sama dibuat ke atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Bozz Jebat menerusi laman sosial miliknya.

Dalam video yang tular di beberapa platform media sosial itu, Bozz Jebat menyoal keputusan Abang Johari melantik Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan.

Individu terbabit juga turut menggunakan kata-kata kesat ke atas Abang Johari dalam kritikannya itu dan kenyataan itu disifatkan sebagai amat biadab serta berbaur perkauman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini