comscore
Tumpuan :
Nasional

Mohammed Shazalli dilantik Penasihat Media & Komunikasi Strategik PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dilantik sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkuat kuasa semalam.

PMO dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beliau menggantikan Allahyarham Rozaid Rahman yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu.

“Beliau yang ketika ini berkhidmat sebagai Penasihat Media Khazanah Nasional Berhad akan turut memantau urusan media dan komunikasi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PMO berkata, Mohammed Shazalli juga akan ditugaskan untuk menambah baik pelaksanaan kempen Malaysia MADANI.

Sebelum ini, Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di PMO, Rozaid, 59, meninggal dunia di kediamannya di Putra Heights, Selangor pada 18 Ogos lalu.

Difahamkan, Allahyarham sebelum ini pernah mengalami serangan jantung dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Sebelum berkhidmat di PMO, Allahyarham berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun dan memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984 serta pernah menyandang jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini