comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Sia-Sia Saja Kita Buat Kerja Kalau Terpaksa Bentang Semula’

PUTRAJAYA: Bacaan kali kedua untuk Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata RUU itu kini boleh dibentangkan selepas penyata yang mengandungi cadangan mengenai perkara berkenaan telah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang dipengerusikan oleh beliau, semalam.

Beliau berkata, JPK itu dianggotai oleh 12 Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

“Saya yakin RUU itu boleh diluluskan jika mengikut aturan mesyuarat. Namun sekiranya Parlimen dibubarkan dan ia tidak sempat dibawa ke Dewan Negara, undang-undang ini mesti dibentangkan semula oleh kerajaan baharu, itu prosedurnya.

“Bagaimanapun, saya berharap ia diluluskan. Namun kalau diluluskan dan kemudian Parlimen bubar, sia-sia saja kita (Kementerian Kesihatan) membuat kerja kerana tidak boleh membawa perkara ini (ke Dewan Negara) dan terpaksa membentangkannya semula,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Pada 2 Ogos lalu, Dewan Rakyat bersetuju RUU itu dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan, ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.

RUU bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) itu antara lain bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok, termasuk rokok elektronik, kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Mengulas lanjut, Khairy bagaimanapun berkata sekiranya RUU itu tidak dapat dibentang dan diluluskan di Dewan Negara, beliau tetap berpuas hati kerana ia sudah sampai ke tahap penyata daripada JPK Parlimen dan boleh digunakan sebagai rujukan kerajaan akan datang.

“Sebab semua (ahli JPK Parlimen) sudah setuju, jadi bawa sahajalah (dibentangkan semula ke Dewan Rakyat). Semua urusan rumit sudah selesai dan RUU ini juga telah mendapat pandangan daripada pihak lain.

“Saya hendak bawa tetapi takut tidak sempat sebab suhu (politik) sudah panas,” katanya secara berseloroh. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini