comscore
Tumpuan :
Nasional

Sia-Sia Usaha KKM Jika RUU GEG Tidak Lulus-Khairy

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bakal dibentang di Dewan Rakyat, Khamis ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia setelah mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang dipengerusikannya semalam bersetuju dengan penyata yang mengandungi cadangan RUU Generasi Penamat (GEG) berkenaan.

“Maknanya bila RUU dengan pindaan dikembalikan semula ke Parlimen dengan persetujuan semua ahli JPK Parlimen, maka kebimbangan dahulu sudah ditangani dengan pindaan ini.

“Jadi prinsipnya adalah RUU dah lulus di peringkat jawatankuasa, saya harap wakil semua parti yang hadir dalam JPK Parlimen itu akan maklumkan kepada parti mereka bahawa kebimbangan parti sudah pun ditangani dan RUU sudah boleh disokong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

JPK Parlimen dianggotai 12 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang antaranya Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Ia turut dianggotai Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni; Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); R Sivarasa (Sungai Buloh); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor); Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran); Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun).

Mengulas lanjut, Khairy yakin bacaan kali kedua RUU itu dibentangkan Khamis ini atau selepas selesai perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen.

“Kalau Parlimen dibubarkan, saya tanya Setiausaha Dewan Rakyat apa akan berlaku pada RUU yang tidak dibahas dan dibacakan kali ketiga, (Setiausaha Dewan Rakyat maklumkan) RUU tidak lulus.

“Kalau RUU itu dibaca buat kali ketiga di Dewan Rakyat dan diluluskan tetapi tidak sempat dibawa ke Dewan Negara, RUU ini mesti dibentang semula oleh kerajaan baharu. Itu prosedurnya.

“Saya harap (RUU ini) diluluskan, tapi kalau diluluskan (di Dewan Rakyat) kemudian Parlimen bubar, sia-sia sahaja kita (KKM) buat kerja dan tak boleh bawa (ke Dewan Negara) dan terpaksa bentang semula,” katanya.

Katanya, beliau tetap berpuas hati sekiranya RUU itu tidak dapat dibentangkan dan diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.

Ini kerana RUU itu sudah sampai ke tahap penyata daripada JPK Parlimen dan ia boleh digunakan sebagai rujukan kepada kerajaan akan datang.

“Sebab semua (ahli JPK Parlimen) dah setuju, jadi bawa sahajalah (dibentangkan semula ke Dewan Rakyat), semua urusan rumit sudah selesai serta RUU ini juga sudah mendapat pandangan daripada pihak lain.

“Saya nak bawa (RUU ini) tapi takut tak sempat sebab dia punya suhu (politik) dah panas, katanya.

Pada 27 Julai lalu, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Pada 2 Ogos lalu, Dewan Rakyat bersetuju RUU berkenaan dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan, ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.

RUU tersebut antara lain bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Loading...
Terkini