comscore
Tumpuan :
Nasional

Siapa Bakal PM? Ketahui Esok Menjelang Pukul 2 Petang- Istana Negara

FOTO : Istana Negara / Facebook

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR:Istana Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk memohon ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan meminta ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik untuk memaklumkan gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2.00 petang, esok pada hari Isnin, 21 November 2022.

“Istana Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada jam 1.15 tengah hari tadi.” kata beliau dalam satu kenyataan media yang turut dipamerkan dalam laman web Facebook rasmi Istana Negara.

Jelas beliau, dokumen yang dikemukakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.”

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU ke-15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Loading...
Terkini