comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasat produk di Shien yang didakwa dicemari bahan toksik tinggi – CAP

FOTO: Reuters

GEORGETOWN: Pihak berkuasa digesa supaya menyiasat produk kanak-kanak yang dijual menerusi pusat beli belah dalam talian, Shein yang memasuki negara ini.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap penemuan oleh pihak berkuasa Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini, mendedahkan bahawa produk kanak-kanak yang dijual di Shein mengandungi bahan kimia toksik tinggi.

Beliau berkata menurut laporan, pihak berkuasa Seoul menjalankan pemeriksaan sejak bulan lalu, lapan produk yang dijual oleh Shein, termasuk kasut kanak-kanak, beg kulit dan tali pinggang dan mendapati beberapa produk mengandungi jumlah phthalates yang tinggi, sejenis bahan kimia yang digunakan untuk melembutkan plastik.

“Menurut laporan pemeriksaan pihak berkuasa Seoul, sepasang kasut mengandungi 428 kali ganda paras phthalates yang dibenarkan dan tiga beg mempunyai jumlah setinggi 153 kali had,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Phthalates digunakan secara meluas untuk melembutkan plastik dan terdapat dalam ribuan produk termasuk bekas, produk kecantikan dan barang mainan.

Mohideen berkata, pendedahan kepada jumlah bahan kimia yang tinggi didakwa boleh menyebabkan gangguan sistem pembiakan, neurologi dan perkembangan manusia, dengan kanak-kanak menjadi lebih rentan.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana Shein adalah satu daripada platform e-dagang dalam talian yang popular di Malaysia terutamanya dalam kalangan belia,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, CAP menggesa pihak berkuasa supaya segera menjalankan ujian keselamatan produk yang dijual di Shein.

“Bagi mengurangkan sentuhan dengan bahan berbahaya, CAP menasihati pengguna supaya sentiasa cuci pakaian baru sebelum memakainya untuk menyingkirkan lapisan kimia toksik.

“Elak pembelian daripada jenama yang tidak telus mengenai proses pembuatannya serta kurangkan membeli pakaian atau barangan yang dilabel sebagai tahan kotoran, air atau bau,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini