HOME / Nasional

Siasat Semula Kes Kematian Bayi Syifa – Gesa Che’ Puan Besar Khaleeda

Kes kematian bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan atau lebih dikenali sebagai Syifaa ketika dalam jagaan di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan pada Februari lalu, perlu disiasat semula

Isteri Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam membuat gesaan itu menerusi hantarannya di Instagram, semalam.

Dalam hantaran pertama pada petang semalam, Che’ Puan Besar Khaleeda berkongsi hantaran bapa kepada bayi berkenaan, Yuseri Yusoff yang memuat naik gambar kecederaan bayi terbabit serta laporan bedah siasat yang meragukan dengan peringatan mengenai tarikh sebutan semula kes inkues di Mahkamah Koroner Seremban, 29 Jun ini.

Che’ Puan Besar Khaleeda yang meletakkan tanda pagar #justiceforbabysyifaa turut menandakan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.Hantara kedua Che’ Puan Besar Khaleeda juga menyuarakan pendapatnya yang melihat kecederaan bayi itu yang dikatakan akibat terjerut tali buaian seperti tidak masuk akal.

“Bagi saya tidak masuk akal ‘Baby’ (bayi) Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret,” tulisnya.

Che’ Puan Besar Khaleeda kemudiannya berkongsi lagi hantaran Yuseri yang dibuat pada 24 Mac lalu dengan mempersoalkan bagaimana seseorang boleh melakukan tindakan sebegitu kepada seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.

“How can someone do this to a helpless child (Bagaimana seseorang boleh lakukan perkara ini ke atas kanak-kanak yang tidak berdaya).

“You need to reinvestigate this case (Kamu perlu siasat semula kes ini),” tulisnya dengan menandakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Rina.

Media sebelum ini melaporkan, bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang, 22 Februari lalu selepas dibawa pengasuhnya ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk rawatan.

Dalam siasatan awal polis, pengasuh bayi itu mendakwa mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan leher dan kepalanya terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian, manakala badannya berada di dalam buaian.

Hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pula merumuskan tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi berkenaan.

Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian bayi perempuan itu ditetapkan semula pada 29 Jun ini di Mahkamah Koroner Seremban.