Tumpuan :
Nasional

Siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir – RCI Batu Puteh

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Perkara berkenaan antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Penubuhan RCI berkenaan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.

Lima lagi ahli RCI itu ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; pakar undang-undang Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran, Prof Datin Dr Faridah Jalil.

Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah, manakala Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman sebagai Setiausaha RCI dan BHEUU JPM sebagai urus setia.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.

Anwar pada Disember 2023 turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh, meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit.

Pada 12 Jun lalu, Dr Mahathir memberi keterangan hampir dua jam kepada suruhanjaya berkenaan dan pada sidang media kemudian, menafikan membuat keputusan sendirian dalam kes membabitkan tuntutan Pulau Batu Puteh sehingga Malaysia kehilangannya.

Katanya, keputusan berkenaan sebaliknya diputuskan Kabinet pada 2018 dan pihaknya hanya memberi pandangan supaya tuntutan itu tidak diteruskan kerana pakar undang-undang dan peguam ketika itu berpendapat ia kes yang lemah dan Malaysia tiada ‘peluru’ untuk menang.

Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, ketika Malaysia dan Singapura memutuskan untuk membawa perkara berkaitan Batu Puteh kepada ICJ, perjanjian sudah dibuat bahawa apa sahaja keputusan perlu diterima oleh kedua-dua negara.

“Kita perlu mematuhi janji (untuk terima keputusan), kalau mungkir janji, nama buruk pada Malaysia,” kata bekas Perdana Menteri.

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, Perdana Menteri pada 2018 yang membuat keputusan ‘sembunyi-sembunyi’ adalah individu bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di ICJ.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ketika menjawat Perdana Menteri pada 2022 pula mengakui kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir sehingga Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini