comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan kes anggota tentera ditembak dibuat mengikut Seksyen 302

KUALA LUMPUR: Siasatan membabitkan seorang anggota tentera yang maut dipercayai akibat ditembak pemburu haram dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kejadian yang terjadi di kawasan hutan Song, Bahagian Kapit, Sarawak awal pagi semalam.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut kes ini termasuk mengesan saksi-saksi berkaitan dan proses bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan esok (hari ini),” katanya malam tadi.

Terdahulu media melaporkan seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit, maut terkena tembakan dipercayai dilepaskan pemburu haram pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dilapor berkata, kejadian itu membabitkan mangsa yang berpangkat koperal berusia 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada 7.43 pagi.

Susulan itu Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan mangsa sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi (EPB) bermula 21 hingga 29 September di kawasan hutan berkenaan.

TDM dilapor berkata, mangsa adalah anggota formasi Briged 9, Sibu iaitu sebahagian daripada Batalion ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini