comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan visa perubatan warga asing: EAIC rampas 156 fail Pas Lawatan Sosial

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) berkait siasatan sindiket visa perubatan membabitkan warga asing disyaki didalangi pegawai Jabatan Imigresen.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan semua fail terbabit disita dalam pemeriksaan dijalankan di Bahagian Visa, Pas dan Permit, Imigresen Putrajaya pada 1 Oktober lalu.

Menurut kenyataan itu, tindakan penyitaan dijalankan selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

“Sitaan tersebut dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan pegawai Imigresen yang dikatakan mengeluarkan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur.

“Sehubungan itu siasatan penuh sedang dijalankan ke atas aduan tersebut selaras dengan Subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan Subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700),” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, hari ini mengesahkan EAIC hadir ke ibu pejabat Imigresen untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti membabitkan pegawai di jabatan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

Katanya, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku.

Zakaria berkata, pihaknya memandang serius serta sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti oleh anggotanya selaras fokus utamanya untuk meningkatkan tata kelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi Imigresen supaya kembali dihormati dan disegani.

Hari ini sebuah portal berita yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Imigresen melaporkan, beberapa pegawai Imigresen sedang disiasat selepas disyaki terbabit dalam ‘sindiket visa perubatan’ membabitkan warga asing.

Sindiket itu dikatakan membawa masuk warga asing dengan menyediakan visa perubatan kononnya mereka masuk ke negara ini atas tujuan mendapatkan perubatan namun bekerja secara haram di negara ini.

Sumber itu berkata, siasatan membabitkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lalu membabitkan satu negeri sahaja dengan kadar bayaran sekitar RM4,500.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini