comscore
Tumpuan :
Nasional

Sidang DUN Johor jadi tumpuan esok, kali pertama dirasmikan Tunku Mahkota Ismail

JOHOR BAHRU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan berlangsung selama lima hari bermula esok akan menjadi tumpuan kerana pertama kali bakal dirasmikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Ia selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Tunku Mahkota Ismail dilantik Pemangku Sultan berkuat kuasa 22 November lalu dan baginda akan memangku sepanjang tempoh Sultan Ibrahim melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Pemangku Sultan Johor dijadual menyampaikan titah pembukaan persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar ketika perasmian esok.

“Persidangan DUN Johor akan berlangsung selama lima hari sehingga 16 Mei depan. Ia dimulakan dengan istiadat perasmian pembukaan DUN yang akan disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Baginda juga akan menyampaikan titah utama esok.

“Ia diikuti dengan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dari pihak kerajaan dan pengimbang yang akan membahaskan titah Tunku Mahkota Ismail sepanjang persidangan berlangsung, selain sesi soal jawab pentadbiran negeri,” katanya ketika dihubungi.

DUN Johor diwakili 40 wakil rakyat Barisan Nasional (BN), gabungan yang menang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac 2022. Pakatan Harapan (PH) menyandang 12 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan tiga kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), satu kerusi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini