Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Asean (ASEAN-OSH 2025) bakal menjadi platform penting dalam meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja di rantau ini.
Ia seiring hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penganjuran Kepengerusian Asean untuk mencapai kecemerlangan dalam semua sektor.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, acara itu penting bagi negara anggota ASEAN berkongsi buah fikiran dan amalan terbaik.
“Peluang Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan ini harus dijadikan satu ruang bukan sahaja berkongsi pandangan dan amalan di Malaysia tetapi dipelajari dan saling bertukar pandangan amalan terbaik di rantau ini dan antarabangsa. Ini adalah peluang terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Program Sidang Kemuncak ASEAN OSH 2025 di ibu negara, hari ini.
Beliau menekankan pentingnya pembelajaran dan perkonsian maklumat bagi menangani cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang semakin kompleks.
Selaras dengan Kepengerusian ASEAN tahun ini, beliau berkata penting untuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memainkan peranan utama dalam menangani cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang semakin berkembang.
Sidang kemuncak ASEAN OSH 2025 dijadual berlangsung pada 4 hingga 5 Ogos depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.