Tumpuan :
Nasional

Sidang Kemuncak G20: Malaysia cadang perwakilan Amerika Latin, Afrika jadi anggota tetap UNSC

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pendirian Malaysia dalam sesi kedua Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) bertemakan ‘Reformasi Institusi bagi Tadbir Urus Global’-FOTO Ihsan PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Malaysia mencadangkan agar perwakilan daripada wilayah Amerika Latin dan benua Afrika dijadikan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya ia menjadi lebih inklusif.

Syor itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pendirian Malaysia dalam sesi kedua Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) bertemakan ‘Reformasi Institusi bagi Tadbir Urus Global’, di sini.

Mengulas lanjut cadangan tersebut dalam sidang media akhir bersama media Malaysia, Anwar mempersoalkan bagaimana dunia berbicara mengenai soal tadbir urus global padahal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak betul-betul demokratik dan mewakili aspirasi semua negara.

“Kuasa veto itu masih tertakluk pada sistem lama, warisan sejarah setelah perang dunia kedua. Jadi kita usulkan harus ada wakil dari Amerika Latin dan Afrika dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC),” katanya.

Jelasnya, reformasi PBB telah dibincangkan lima dekad lamanya dan seruan untuk pembaharuan pertubuhan berkenaan mesti mengambil kira prinsip-prinsip perwakilan.

Anggota tetap UNSC terdiri daripada China, Perancis, Russia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang juga dikenali sebagai Permanent Five, Big Five atau P5.

Selain itu, dalam sesi terbabit, Anwar turut mempersoal tindakan dunia mengetepikan hak sebahagian rakyat malah mempertahankan penjajahan, sedangkan ia disanggah dari segi dasar oleh PBB dan masyarakat dunia.

“Saya beri contoh bahawa (krisis) Gaza disebabkan akibat penjajahan berterusan walaupun seperti kita tahu yang dibicarakan oleh orang Barat, naratif Barat hanya (perang Israel-Palestin) pada 7 Oktober 2023, mengetepikan bahawa penjajahan itu berlaku sejak (perang Israel-Palestin) tahun 1947, 1948,” katanya sambil membangkitkan isu pelanggaran peraturan dan keputusan UNSC yang telah berterusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini