Tumpuan :
Nasional

Sidang Kemuncak G20: Noktahkan dasar tersasar jika serius hapuskan kebuluran, kemiskinan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pendirian Malaysia dalam sesi pertama Sidang Kemuncak G20 bertemakan ‘Memerangi Kebuluran dan Kemiskinan’, di Rio De Janeiro.-FOTO: Ihsan PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Negara-negara Kumpulan 20 (G20) digesa untuk mengambil tindakan bersama dengan iltizam politik yang kuat dalam menoktahkan dasar yang tersasar jika benar-benar serius mahu menghapuskan isu kebuluran dan kemiskinan secara berkesan.

Menyuarakan ketegasan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah lebih membimbangkan apabila dasar tersasar oleh negara-negara kaya kononnya untuk bantuan, tetapi digunakan bagi meneruskan konflik dan ketidaksamaan ekonomi.

“Sebagai contoh, dasar ini boleh dilihat melalui sejumlah besar wang yang dibelanjakan untuk senjata dan persenjataan sama ada untuk memulakan perang atau melanjutkan (peperangan).

“Bayangkan jika hanya sebahagian kecil daripada sumber kewangan besar ini digunakan untuk melawan kebuluran dan kemiskinan,” katanya ketika menyampaikan pendirian Malaysia dalam sesi pertama Sidang Kemuncak G20 bertemakan ‘Memerangi Kebuluran dan Kemiskinan’, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pendirian Malaysia dalam sesi pertama Sidang Kemuncak G20 bertemakan ‘Memerangi Kebuluran dan Kemiskinan’, di Rio De Janeiro.-FOTO: Ihsan PMO

Justeru, beliau berkata, kekurangan keazaman politik, kelemahan tadbir urus serta pelbagai faktor lain yang memerangkap komuniti dalam kitaran kemiskinan dan kelaparan perlu ditangani.

“Sebagai contoh, kegagalan tadbir urus dalam sesebuah negara adalah antara faktor utama. Ini sering berkait dengan korupsi endemik yang membabitkan kantung kewangan negara sehingga merugikan golongan miskin dan terpinggir,” katanya.

Menurut Anwar, salah guna sumber menjadi masalah serius umpamanya ketika pandemik COVID-19.

Jelasnya, pada Ogos 2021, peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) sebanyak AS$650 bilion dikatakan memberi manfaat kepada semua negara, namun berlaku sebaliknya.

“Hampir dua pertiga daripada pengagihan ini diberikan kepada negara-negara kaya, meninggalkan negara-negara miskin yang sangat memerlukan bantuan, dengan bahagian yang amat kecil,” katanya.

Anwar merangkap Menteri Kewangan juga mengkritik warisan institusi Bretton Woods dan menyeru kepada reformasi besar-besaran untuk menghapuskan amalan perdagangan yang tidak adil serta membina sistem kewangan yang benar-benar memberi manfaat kepada semua.

“Peraturan antarabangsa yang kononnya berasaskan peraturan perlu digantikan dengan sistem yang benar-benar mengutamakan keadilan dan keterangkuman,” katanya sambil menambah bahawa kapitalisme tanpa kawalan terus menjadi punca utama ketidaksamaan global.

FOTO: Ihsan PMO

Perdana Menteri turut memuji kejayaan China dalam membasmi kemiskinan dan menyeru negara-negara lain untuk menyesuaikan strategi serupa mengikut keperluan sosioekonomi masing-masing.

Pada masa sama, beliau menggariskan inisiatif Malaysia menerusi Kerangka Ekonomi MADANI yang menumpukan kepada reformasi tadbir urus, kelestarian fiskal, transformasi digital, pemerkasaan wanita dalam ekonomi, dan tindakan terhadap perubahan iklim.

“Malaysia menegaskan komitmennya terhadap Agenda 2030 untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan,” kata Anwar, sambil menekankan peranan aktif negara dalam menangani kelaparan dan kemiskinan.

Di penghujung sesi itu, Anwar mengulangi komitmen negara menjelang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan, untuk membina kapasiti serantau dengan matlamat memperkukuh tadbir urus, membina daya tahan dan mengurangkan kemiskinan di seluruh Asia Tenggara.

“Perjuangan melawan kelaparan dan kemiskinan memberi impak langsung kepada pembangunan manusia.

“Akhirnya, komitmen bersama terhadap matlamat ini akan membawa kepada dunia yang bebas daripada kelaparan dan kemiskinan, di mana semua manusia dapat hidup dengan sejahtera,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini