Oleh: Kumaran Rajamoney
PERAI: Malaysia perlu memanfaatkan kekuatan pensijilan halalnya bagi dijadikan instrumen memperkukuh ekonomi menerusi potensi perdagangan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, penerokaan peluang itu boleh dilakukan menerusi kerjasama strategik bersama negara luar yang mahu mendapatkan pengiktirafan pensijilan halal.
“Industri halal mempunyai potensi besar mencecah lebih USD1 trilion. Produk halal kini menjadi tarikan termasuk dikalangan negara bukan Islam seperti China, Vietnam dan Laos, kerana ia melibatkan soal kesihatan secara menyeluruh.
“Sebab itu saya katakan pada Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) bahawa ianya bukan sekadar pensijilan tapi perlu jana ekonomi,” katanya.
Halal tegas Perdana Menteri, bukan sekadar tidak mengandungi perkara yang disifatkan sebagai najis tetapi turut menyentuh proses tanpa melibatkan kecelaruan, penipuan dan memenuhi mutu yang dijanjikan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia harus menjadi pusat bagi ekonomi Islam secara menyeluruh termasuk menerusi penglibatan insitusi kewangan yang mematuhi matlamat Maqasid Syariah, dan tanpa riba.
“Sekarang banyak kajian yang bukan mempertikai institusi bank Islam, tapi merasakan tidak cukup. Ia hanya riba free tetapi bukan sistem ekonomi yang memenuhi Maqasid Syariah.
“Ia tidak hanya dilihat sebagai satu alternatif, bukan alternatif. Apa yang dibuat bank di New York yang mengawal perbankan, kita ikut tapi tidak mengemukakan instrumen baru,” tambahnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) 2024 di sini, hari ini.
PIHEX kali ke-13 ini menjadi salah satu pameran perdagangan tahunan terbesar di wilayah utara yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinag bagi pemain industri halal tempatan dan antarabangsa.
Ia bertujuan untuk meluaskan perniagaan dan mempromosikan jenama halal dalam industri, mempamerkan produk dan perkhidmatan halal yang berkualiti disamping membina rangkaian perniagaan dalam industri halal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.