comscore
Tumpuan :
Nasional

Sijil Tinggi Agama Malaysia 2023 catat peningkatan memberangsang

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KLANG: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 mencatat pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Nasional (GPN) menurun kepada 3.09 berbanding 3.13 pada tahun sebelumnya.

Indeks GPN merujuk kepada pencapaian calon dalam semua mata pelajaran dengan julat antara satu hingga lima dengan nilai GPN menghampiri satu menunjukkan pencapaian calon lebih baik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata peningkatan sebanyak 0.04 itu secara tidak langsung menonjolkan potensi lepasan STAM untuk terus didukung dalam ekosistem Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, peningkatan GPN saban tahun membolehkan kementerian itu memperluas pengambilan calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada lepasan STAM.

“Hal ini ialah langkah KPM dalam konteks menyahut cabaran memperluas kemasukan ke IPG bukan sekadar kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi juga untuk lepasan STAM termasuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta matrikulasi.

“Peluasan bilangan ambilan ke IPG ini akan memberikan manfaat kepada pelajar lepasan STAM untuk sama-sama berkhidmat sebagai warga KPM selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan dengan Calon Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di sini, semalam.

Sebanyak 4,058 calon berdaftar untuk STAM 2023 merangkumi 1,294 calon sekolah KPM; sekolah menengah agama negeri (1,570 orang); sekolah menengah agama rakyat (244 orang); sekolah menengah swasta (33 orang) dan calon persendirian (917 orang). – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini