
KUANTAN: Dua wanita masing-masing peneroka dan pesara guru di Pekan dan Bentong, kerugian RM327,829 selepas terpedaya dengan penipuan panggilan telefon.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kes pertama membabitkan mangsa berusia 66 tahun yang menerima panggilan daripada suspek mendakwa sebagai pegawai polis pada 3 Januari lalu.
Katanya, suspek memaklumkan wujud aduan terhadap nombor telefon digunakan mangsa.
“Suspek mendakwa mangsa mempunyai barang terlarang dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram manakala waran tangkap juga dikeluarkan terhadapnya.
“Percaya dan takut dengan ugutan itu, mangsa mengikut semua arahan sehingga memindahkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM83,000, wang simpanan Tabung Haji (RM51,000), hasil jualan barang kemas (RM24,733) dan RM57,442 dalam akaunnya, keseluruhannya berjumlah RM216,176.
“Mangsa kemudian diarah untuk meletakkan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya di lokasi yang diberi selepas memasukkan semua wang dalam akaun bagi tujuan siasatan.
“Mangsa menyedari ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang yang dijanjikan dalam tempoh tujuh hari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam kes kedua, Yahaya berkata, mangsa berusia 62 tahun menerima mesej sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon tidak dikenali yang mendakwa beliau mempunyai tunggakan kad kredit sebuah bank.
“Mangsa diminta menghubungi nombor telefon diberi suspek untuk membuat pengesahan.
“Suspek mendakwa mangsa memohon satu kad kredit dan membuat perbelanjaan berjumlah RM4,778.
“Mangsa menafikan perkara itu tetapi diminta menghubungi nombor telefon kononnya pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan diarah membuat pindahan wang kepada akaun pihak ketiga.
“Terpedaya dengan arahan itu, mangsa melakukan 17 transaksi kepada beberapa akaun diberi sehingga mengalami kerugian RM111,653.
“Mangsa membuat laporan selepas menyedari ditipu manakala sumber kewangan adalah wang simpanan dan wang ganjaran pencen.
“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.